Ramadanku....2015

Assalamualaikum wbr...dan salam sejahtera..


Alhamdulillah, hari ini sudah 26 hari kita berpuasa. Ramadan makin hampir meninggalkan kita. Belum puas menikmati kemanisan Ramadan, terasa sedih akan berpisah dengan Ramadan. Adakah tahun hadapan akan bertemu Ramadan lagi? 'Ya Allah! Panjangkanlah umurku agar aku dapat bertemu dengan Ramadan sekali lagi..'

Alhamdulillah, saya masih dapat berpuasa pada kali ini seperti tahun-tahun sebelumnya walaupun sedang menjalani rawatan kemoterapi. Tenaga tidak terjejas dek ubat-ubatan kemo kerana saya mengamalkan supplemen untuk membantu kecergasan saya. Pada malam hari tetap dapat melaksanakan ibadah solat sunat terawih dan qiamuallail. Alhamdulillah dengan izin Allah segalanya berjalan dengan baik.

Sepanjang Ramadan ini, saya berulang-alik ke kampung di Temerloh, Pahang pada setiap hujung minggu untuk memantau pekerja yang sedang menyiapkan rumah kami di sana. Saya juga boleh memandu jarak jauh sendirian seperti biasa. Kadang-kala saya juga memandu ke hospital untuk rawatan kemoterapi  tanpa ditemani oleh sesiapa kerana saya tidak mahu menyusahkan suami.

Pada hari Rabu 15/7/2015 ini saya akan menjalani kemo yang ke 11. Pada hari itu orang ramai sudah sibuk pulang ke kampung untuk berhari raya. Doktor bertanya sama ada saya ingin menangguhkan kemo atau tidak. Saya tidak mahu menangguhkannya walaupun sudah hampir hari raya kerana saya yakin dengan kemampuan saya. InshaAllah, saya boleh beraya seperti biasa juga dan selepas atau sebelum sahur hari Khamis 16/7/15 itu nanti saya harus memandu pulang ke kampung kerana suami telah pun pulang lebih awal untuk menguruskan hal-hal di kampung. Pada saya hal ini tidak menjadi masalah kerana saya seorang yang berdikari dan tidak suka berkepit di bawah ketiak suami 24 jam. Masing-masing ada urusan yang perlu diselesaikan. Pada pandangan sesetengah pihak adalah tidak wajar seorang suami melepaskan isteri yang sakit menguruskan dirinya sendiri. Bagi saya ini bukan satu kekurangan atau masalah besar kerana saya masih mampu mengurus diri sendiri dan keluarga, saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa pesakit kanser mampu melakukan pekerjaan atau tugasan seperti orang sihat yang lain dan sememangnya saya mampu. Alhamdulillah, ini semua berkat rahmat dan pertolongan daripada Allah swt. Saya amat bersyukur kerana Allah memakbulkan permintaan saya agar saya boleh melaksanakan ibadah dan rutin harian tanpa terganggu oleh kesihatan dan tidak menyusahkan keluarga. Lainlah jika saya sudah terlantar di katil barulah saya perlukan bantuan untuk mengurus diri, begitulah kata-kata saya kepada suami...selagi saya mampu biarlah saya buat sendiri, kata saya lagi. Suami akur dengan kehendak saya itu dan dia tidak risau kerana dia tahu kemampuan saya untuk melakukan sesuatu itu...

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri kepada semua rakan di luar sana. Saya mohon keampunan jika ada di dalam tulisan-tulisan saya ini yang menggangu emosi, hati dan perasaan anda semua. Saya hanyalah seorang insan kerdil yang tak lepas dari kesalahan.



SELAMAT HARI RAYA, BERHATI-HATI DI JALAN RAYA!

Comments

Popular Posts