Bubur Anak Lebah
Assalamualaikum...
Alhamdulillah, masih bernafas di hari Jumaat yang penuh keberkatan ini..jangan lupa baca Surah Al-Kahf.
Sehari dua ini rasa minat untuk memasak tiba-tiba datang tetapi tak suka memasak di rumah sendiri. Rasa seronok dan rajin apabila di rumah mak di kampung kerana ruang dapur yang luas.
Jadinya sebelum pulang ke kampung, kumpul resepi yang ingin dicuba terlebih dahulu. Hari ini saya mencari resepi bubur manis warisan atuk moyang kita dulu...iaitu Bubur Anak Lebah. Ia terkenal di negeri Perak tetapi sebagai anak Pahang sejak dari kecil saya biasa melihat orang kampung menyediakan bubur ini semasa kenduri-kendara, majlis doa selamat atau cukur jambul.
Bahan-bahannya mudah diperolehi tetapi proses pembuatannya memerlukan kesabaran kerana terpaksa menahan panas. Di kampung ia dimasak di dalam kawah atau periuk besar menggunakan dapur kayu.
Antara bahan untuk membuat bubur ini adalah:
Tepung beras (waktu itu kisar sendiri-lagi sedap)
Gula kabung@gula merah@gula melaka
Gula pasir
Air kapur (untuk mengenyalkan doh) -agak2 sahaja.
Santan pekat
Santan cair
Daun pandan
Caranya:
Uli tepung beras dengan sedikit santan dan air kapur sehingga menjadi doh yang lembut. Ketepikan. Sebaiknya ada seorang yang melakukan tugasan ini dan seorang lagi menyediakan kuahnya.
Santan dan daun pandan dimasak atas api sederhana sambil dikacau supaya tidak hangit atau berketul.
Kemudian masukkan gula kabung dan gula pasir. Kacau hingga gula larut.
Acuan Bubur Anak Lebah
Setelah gula larut, masukkan doh ke dalam acuan seperti dalam gambar. Tekan-tekankan doh sehingga habis sambil di kacau.
Semasa proses inilah kesabaran menahan wap panas diperlukan. Biar seketika agar bubur masak sempurna.
Kemudian bolehlah dihidangkan..
Comments
Post a Comment