Pengalaman Kemoterapi Pertama...

Assalamualaikum wbr..dan salam sejahtera,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana masih dikurniakan usia untuk berkongsi cerita pada hari ini...sebenarnya saya telah pun selesai menjalani sessi kemoterapi cycle yang pertama sebanyak 2 kali. Sessi kemo yang pertama pada 2/3/15 dan yang kedua pada 11/3/15 yang lalu.

Cuma baru sekarang saya berkesempatan untuk berkongsi cerita. Saya sebenarnya terlalu 'excited' untuk menjalani rawatan kemoterapi ini kerana saya tidak mahu bertangguh-tangguh lagi memandangkan kanser saya sudah pada tahap yang serius.
Walaubagaimanapun, saya masih stabil dan tiada kesakitan dirasai. Tumor sudah sebesar penumbuk di dalam paru-paru kiri dan hampir memenuhi ruang paru-paru. Ia juga telah merebak ke tulang belakang menyebabkan saya tidak boleh menjalani pembedahan untuk membuang tumor tersebut kerana pembedahan itu sangat sukar.

Penyelesaiannya, doktor menjalankan rawatan kemoterapi untuk mengecutkan tumor tersebut. Rawatan kemo sebanyak 6 cycle, 12 kali sessi kemoterapi. Saya baru selesai 2 kali kemo, masih berbaki 10. Kemudian doktor akan membuat pemeriksaan semula secara CT Scan untuk memastikan saiz tumor. Dari situ beliau dapat membuat keputusan sama ada saya perlu menjalani sessi radioterapi atau tidak.

Sebenarnya ramai orang takut untuk melalui proses kemoterapi atau radioterapi. Bermacam-macam pengalaman orang yang saya dengar tetapi sebelum melaluinya, saya banyak membaca untuk benar-benar memahami tentang proses itu. Saya tidak berasa takut atau gementar..malahan sangat tenang kerana saya faham apa yang akan berlaku kepada diri saya.

Sebelum proses kemo dijalankan, doktor datang menemui saya dan menerangkan jenis-jenis ubat kemo yang diguna berserta dengan kesan-kesan sampingan daripada ubat-ubatan tersebut. Doktor juga menerangkan tentang keputusan ujian darah sebelum itu. Ianya normal dan membolehkan rawatan kemo dijalankan. Setiap kali kemo akan dijalankan, saya perlu menjalani ujian darah bagi memastikan semuanya baik dan normal. Sekiranya ada berlaku kekurangan di dalam bacaan darah tersebut, doktor akan menangguhkan sessi kemo dan memperbaiki apa-apa masalah yang timbul terlebih dahulu. Alhamdulillah, semuanya baik... Selain daripada itu saya juga diminta menandatangani borang kebenaran rawatan. 

Doktor Onkologi yang merawat saya adalah Dr.Zabedah, seorang doktor yang sangat mesra pesakit dan baik. Beliau melayan pesakitnya seperti ahli keluarga dan saya boleh berhubung dengannya tidak kira waktu. Setiap kali ada kemusykilan, saya akan menghantar mesej melalui Whatsapp kepada beliau, dan beliau akan terus menelefon saya untuk memberikan penjelasan. Saya sangat selesa dengan beliau. Sikap seorang doktor terhadap pesakit sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam proses penyembuhan pesakit. Dr.Zabedah merupakan Ketua Jabatan Radiologi dan Onkologi, Hospital Kuala Lumpur tetapi beliau merupakan doktor jemputan di Pusrawi dan sememangnya kepakaran beliau sangat luas di dalam bidang onkologi.

Baiklah, bagaimana kemoterapi dijalankan? Sebenarnya ia seperti memasukkan drip ke badan sahaja cuma perbezaannya saya menggunakan chemo port yang telah dipasang di dada seminggu sebelum itu. Sebelum itu Dr.Razipah yang melakukan pembedahan memasang chemo port memeriksa luka pembedahan tersebut. Ianya makin baik dan boleh diteruskan rawatan kemoterapi tersebut.




Beginilah rupanya chemo port tersebut, ia dipasang di bawah kulit di bahagian dada kanan saya seperti gambar pertama. Kataternya disambung terus ke salur darah utama. Tujuan ia dipasang bagi memudahkan proses kemoterapi. Tidak perlu lengan dicucuk setiap kali proses kemo hendak dijalankan kerana salur darah akan mengeras setelah rawatan kemo dijalankan dan semakin lama, ia makin sukar untuk dicucuk. Dengan cara ini saya bebas bergerak dan boleh melakukan aktiviti membaca, makan atau bersolat dengan mudah.

Saya menjalani kemo di dalam bilik sendiri, bukan di bilik khas seperti di sesetengah hospital. Di sini saya lebih selesa kerana tiada gangguan daripada orang lain yang ingin bersembang dan sebagainya. Proses ini mengambil masa hanya 3 jam..mula-mula jururawat membersihkan bahagian kulit di sekitar chemo port. Selepas itu jarum ditusuk ke dalam chemo port. Sakit tak? Bagi saya tak sakit kerana saya kuat menahan sakit tetapi bagi sesetengah orang itulah yang paling menakutkan. Selepas itu chemo port di balut supaya stabil dan jururawat mula melakukan flushing bagi memastikan aliran ubat tidak terganggu. Kemudian beliau menyuntik ubat tahan muntah, ubat gastrik dan steroid untuk anti allergik. Sesetengah orang akan merasa tidak selesa apabila steroid disuntik tetapi saya tidak merasa apa-apa. Selepas itu aliran Sodium Chloride dibiarkan mengalir sebanyak setengah botol dahulu. Setelah 20 minit berlalu, barulah ubat kemo pertama dialirkan. Ia mengambil masa 1 jam untuk habis. 

Setelah habis ubat pertama, Sodium Chloride dialirkan semula, setelah 20 minit berlalu barulah digantikan dengan ubat kemo kedua. Ia juga mengambil masa 1 jam untuk dihabiskan. Kemudian setelah habis, Sodium Chloride dihabiskan selama 20 minit lagi. Diakhir proses, jururawat akan melakukan flushing sekali lagi dan mencabut jarum dari chemo port.


Inilah rupanya jarum chemo port, sepanjang 1 inci, yang kuning itu 'stopper' yang mencengkam ia dikulit supaya tidak tercabut.

Sepanjang tempoh 3 jam itu saya habiskan waktu dengan berzikir sambil menonton ceramah agama di televisyen. Jadi waktu saya tidak terbuang sia-sia dengan hanya berbaring di katil. Sebenarnya pesakit boleh bebas bergerak, tidak hanya perlu berbaring sepanjang masa...boleh duduk dan ke tandas atau solat jika proses kemoterapi untuk berlangsung sehingga 6,7,8 atau berbelas jam.

Apa yang saya rasa semasa proses itu berlaku? Tiada apa-apa yang saya rasakan..'painless'..tidak dinafikan ada rakan yang merasa sangat mengantuk ketika proses itu dan ada juga yang mengadu sakit dan sebagainya. Alhamdulillah, saya tidak merasa apa-apa yang tidak selesa.

Ketika selesainya sessi kemo itu hari telah menjelang maghrib. Saya dibenarkan pulang ke rumah tetapi saya memilih untuk berehat semalaman di hospital. Pada malam itu tiada kesan yang pelik-pelik di rasakan. Saya dapat menjalankan rutin ibadah seperti biasa tanpa gangguan (seperti doa saya selama ini, Alhamdulillah, Allah makbulkan permintaan saya). Pukul 4.00 pagi saya boleh bangun berqiamullail seperti biasa tanpa rasa lemah, Alhamdulillah..

Keesokan petangnya barulah saya dibenarkan pulang setelah segala urusan berkaitan bil diselesaikan. Di rumah, saya boleh melakukan aktiviti seperti biasa, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya.
Walaubagaimana pun, pesakit dinasihati mendapat rehat/tidur yang mencukupi, makan makanan yang berkhasiat, minum air sekurang-kurangnya 3 liter sehari untuk flush out toksin dan sel kanser yang mati. Saya minum 3-4 liter sehari kerana cuaca panas dan bagi mengelakkan sakit kepala. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik.

Seminggu kemudian, saya kembali ke hospital untuk sessi kemo yang kedua...dan proses yang sama diulangi tetapi untuk kali kedua ini cuma satu ubat kemo diberikan...masih juga saya tidak mengalami apa-apa kesan sampingan...Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kemudahan yang diberikanNya. Selepas kemo kedua ini saya direhatkan selama 2 minggu sebelum memulakan cycle yang ke 2 pada  hari Selasa 24/3/15, minggu hadapan. Seperti biasa pada 23/3/15 saya akan dimasukkan ke wad untuk ujian darah dan berehat sementara menunggu keputusannya. Jika keputusannya normal, sessi kemo ke 3 akan diteruskan pada hari Selasa. Mudah-mudahan segalanyakan berjalan lancar seperti sebelum ini, InshaAllah...mohon rakan-rakan terus mendoakan saya..






Comments

  1. Salam..moga kesihatan puan bertambah baik hendakNYa.

    ReplyDelete
  2. Mudah-mudahan Puan sentiasa kuat dalam melalui ujian ini :)

    ReplyDelete

  3. JUTAWAN HERBS, ada penawar untuk anda sembuh daripada pelbagai penyakit kanser yang telah Terbukti berkesan dan turut dipercayai pesakit2 kanser di seluruh malaysia dan luar negara. Menjadi produk yang wajib dibawa ke mana sahaja, Produk keluaran JUTAWAN HERBS adalah pengeluar produk yang berpengalaman mengubati pelbagai penyakit kanser. Kami memiliki testimoni daripada pesakit2 kanser yang telah sembuh /bebas kanser yang disahkan oleh doktor sendiri. Adakah anda @ orang yang tersayang serta rakan2 anda sedang bertarung dengan dengan kanser ketika ini? Ya! Anda telah buat pilihan yang tepat kerana memilih JUTAWAN HERBS! Dapatkan segera produk kami Anda akan kami 'invite' ke WhatsApp Group kami yang terdiri daripada pesakit2 kanser. Ramai yang gerun dengan rawatan Kimoterapi, dengan Group WhatSApp kami,anda boleh mendengar sendiri perkongsian daripada ahli group yang tetap kuat, dan bertenaga menjalani kehidupan seharian dengan sokongan Jus keluaran JUTAWAN HERBS ini. Marilah bersama2 mengumpul semangat juang bersama pesakit kanser yg lain. Jangan terus buang masa, kita tak akan sembuh dengan hanya menunggu tanpa usaha dan keyakinan, kita yang perlu mencari penawar untuk sembuh, kita berhak memilih untuk sembuh! Kita berhak memilih hanya yang terbaik!! 017 468 7570 EN MOHD ZUHAIRI BIN NOORDIN PENGASAS DAN PEMILIK JUTAWAN HERBS WhatsApp sekarang...

    Layari laman web jusinfiniti.blogspot.my utk testimoni dan jika mahu lebih banyak lagi jadi lah ahli grup psakit2 saya anda akan bertemu lebih banyak pesakit2 yang telah sembuh dan juga pesakit2 yang masih sedang berjuang melawan kanser

    ReplyDelete
  4. Pengalaman jalani kemoterapi kanser Limfoma Stage 4. Kini sihat kembali.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum.. Bagaimana keadaan anda skrg ya..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts