Perjalananku bersama kanser....


Assalamualaikum wbr... dan salam sejahtera,

Alhamdulillah, hari demi hari dapat saya lalui dengan tabah tanpa memikirkan bahawa saya sedang sakit. Saya pernah memberitahu suami supaya tidak melayan saya seperti orang sakit. Biarkan saya menjalani rutin kehidupan harian seperti biasa...urusan anak-anak sekolah, urusan rumahtangga dan lain-lain yang biasa saya lakukan, saya tetap melakukannya seperti biasa...

Walaupun kanser saya pada tahap 4, namun kesihatan saya tidak banyak terjejas. Saya cuma batuk sedikit sahaja. Tiada demam atau selsema. Saya juga meningkatkan aktiviti kecergasan dengan berjalan kaki sekitar 4km pada waktu pagi. Pada hujung minggu kami sekeluarga akan berjalan kaki di Taman Metropolitan Kepong, kadang-kadang berbasikal.

Sewaktu cuti perayaan  hari kemerdekaan yang lalu kami menghabiskan masa beriadah di Taman Negara. Rasa sungguh seronok dan ceria menyusuri sungai sejauh 8.5km, kemudian 'jungle trekking' sejauh 2.4km, cuma belum sempat menghayati keindahan flora dan fauna dari atas 'canopy walk'. InshaAllah akan kembali ke sana semula suatu hari nanti.

Keesokan harinya, kami meneruskan perjalanan ke Gunung Senyum yang terletak di Jengka 25, Pahang. Pengalaman mendaki tangga-tangga curam untuk masuk ke gua-gua di atas gunung sungguh mencabar. Saya pun tidak sangka saya mempunyai tenaga yang cukup banyak untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut. Alhamdulillah, saya rasa sungguh gembira. Ada juga orang yang melarang saya melakukan aktiviti lasak dan menasihati saya supaya berehat dan tidur sahaja kerana bimbang aktiviti sebegitu akan menjejaskan kesihatan saya. Sebenarnya aktiviti yang membuatkan pesakit kanser rasa gembira akan menyumbang kepada proses pemulihan dengan cepat berbanding pesakit yang hanya duduk berdiam diri di atas katil sambil termenung dan bersedih memikirkan nasib dirinya. Saya lebih percaya bahawa banyak radikal bebas akan dihasilkan oleh badan kita jika kita hanya berfikiran negatif.

Selain daripada itu, saya juga sentiasa mengatakan 'Alhamdulillah, saya sihat walafiat' apabila ada orang bertanyakan khabar saya. Itu juga merupakan ungkapan doa, saya mendoakan kesihatan saya saban waktu sehari semalam. Tidak cukup dengan itu, saya perbanyakkan membaca Al Quran, zikir, tasbih dan tahmid serta qiamullail. Bagi mencari ketenangan saya amat berharap agar rakan-rakan senasib, jangan tingalkan qiamullail. Rajinkan diri juga melakukan solat sunat tasbih...mula-mula memang terasa berat tetapi jika sudah biasa melakukannya jika tertinggal sehari kita akan rasa sangat ralat.

InshaAllah, esok lusa akan saya kongsikan lagi pengalaman saya...Assalamualaikum..

Comments

Popular Posts