Aku Mangsa Ketamakan Pihak Yang Hanya Mengaut Keuntungan....

Assalamualaikum wbr....

Wah! Tajuk entri hari ini...macam isu besar saja bunyinya. Sememangnya satu isu yang besar. Sengaja saya kongsikan di sini supaya rakan-rakan boleh berhati-hati dengan tindakan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Apa kesnya?? Pihak yang dimaksudkan adalah hospital dan syarikat insuran. Hospital mana? Insuran apa? Maaf buat masa ini saya masih belum boleh mendedahkan kedua organisasi terbabit kerana saya sedang menjalankan tindakan undang-undang dan saya bimbang sebarang kenyataan saya ini akan menjejaskan siasatan atau proses selanjutnya.

Pada 20hb.Julai 2014 yang lalu, semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Jengka, Pahang saya merasa senak di bahagian bawah rusuk kiri. Sudah beberapa hari saya terasa senak apabila lasak sedikit, namun saya endahkan kerana menyangka itu mungkin  kerana salah tidur. Pada ketika itu, kami sekeluarga sedang membawa mak mertua saya yang hampir nazak menuju ke rumah adik ipar di Desa Coalfields, Sungai Buloh kerana tiada orang yang menjaganya di kampung.

Sampai di rumah adik ipar, hari sudah hampir Maghrib dan waktu berbuka puasa. Sesudah berbuka puasa, suami dan adik ipar mengangkat mak mereka ke bilik air untuk dibersihkan. Setelah dimandikan, saya membantu memakaikan lampinnya.Sebelum itu saya sudah terasa sangat senak semasa mengemop lantai. Selesai memakaikan lampin mak, saya sudah tidak boleh bernafas secara normal. Nafas makin pendek kerana kesakitan yang amat sangat. Kami menunaikan solat Maghrib, solat pun sudah tidak boleh berdiri. Sesudah solat, suami terus mengejarkan saya ke sebuah hospital swasta.

Sampai di hospital, saya terus disorong ke Jabatan Kecemasan. Pelbagai prosedur dilakukan di samping berbagai soalan diajukan.Akhirnya, doktor mengesyaki saya menghidap Pneumonia dan perlu dimasukkan ke wad.

Bermulalah episod di wad....waktu itu jam sudah hampir 11.00 malam. Saya minta suami dan anak-anak pulang ke rumah untuk berehat kerana anak bongsu saya akan menduduki Peperiksaan Percubaan UPSR keesokan harinya dan anak-anak saya juga kurang sihat ketika itu. Di dalam kesakitan itu, saya masih memikirkan hal orang lain dan saya tidak mahu menyusahkan mereka...sebenarnya saya agak tertekan memikirkan bagaimanakah perasaan suami saya ketika itu.Saya tahu dia sedang bersedih mengenangkan kesihatan ibunya dan terpaksa pula menguruskan anak-anak semasa ketiadaan saya di rumah serta mengenangkan apakah yang bakal berlaku kepada saya...

Keesokan pagi doktor yang bertugas menjaga saya masuk. Saya mempunyai persepsi bahawa sebagai seorang pesakit saya akan dilayan mesra dan berhemah oleh seorang doktor. Namun harapan saya meleset apabila saya dikejutkan dengan suara doktor yang lantang. Saya diajukan pelbagai soalan bertubi-tubi sehingga tidak sempat memikirkan jawapannya...soalan diajukan dengan nada membebel dan seolah-olah menyalahkan diri saya yang tidak prihatin akan kesihatan diri. Saya juga dipertikaikan sebagai warganegara atau tidak, dengan bertanyakan, adakah saya menerima suntikan BCG? Saya sungguh tertekan ketika itu sehinggakan jawapan yang diberi hanya untuk menyelamatkan diri saya sendiri sehingga ada jawapan yang tidak tepat. Akibatnya, pihak insuran telah menolak surat jaminan pembayaran. Hal ini tidak saya ketahui sehinggalah pada hari saya keluar.

Alangkah terkejutnya saya kerana tidak diduga perkara itu akan berlaku.Sudahlah saya amat tertekan dengan sikap  tidak beretika doktor berkenaan.

Mengapa saya katakan doktor itu tidak beretika? Beliau menyampaikan berita kepada pesakit tentang penyakit kanser secara terlalu 'direct' tanpa berlapik atau menggunakan perkataan yang lebih lembut. Langsung tidak menjaga perasaan pesakit waktu itu malah saya dileterinya.

Setelah ujian-ujian lanjut dijalankan, doktor mengesahkan penyakit saya, beliau dengan tergesa-gesa meminta saya menandatangani borang kebenaran untuk prosedur Bronchoscopy dan Biopsy.

Saya dapat menerima kenyataan sebagai pesakit kanser dengan tenang dan redha tetapi saya sangat tidak berpuashati dengan layanan doktor tersebut. Apabila fikiran saya sudah tenang, saya berfikir berkali-kali tentang rawatan dan masa depan saya. Akhirnya saya memutuskan untuk tidak meneruskan sebarang ujian lanjut dan rawatan hospital.

Mengapa? Sebenarnya saya sudah banyak membaca dan mendapat maklumat tentang kanser sebelum ini, sel-sel kanser akan merebak lebih cepat jika ia diganggu dengan cara biopsi atau pembedahan. Ia bagaikan pokok yang dicantas, tunas-tunas baru akan tumbuh dengan cepat...tambahan lagi rawatan kemoterapi atau radioterapi akan mematikan kesemua sel badan termasuk sel-sel yang sihat. Kebanyakan pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi akan mendapat kanser berulang dalam masa beberapa tahun setelah menerima rawatan. Paling menyedihkan apabila ramai yang menemui ajal disebabkan kesan sampingan rawatan kemoterapi atau radioterapi. Saya telah membaca banyak artikel daripada pakar onkologi barat yang menolak rawatan tersebut. Mereka sudah menyaksikan ribuan kematian akibat rawatan berkenaan, sehingga mereka sudah tidak tahan lagi melihat penderitaan pesakit-pesakit kanser terutamanya kanak-kanak selepas mendapat rawatan kemoterapi atau radioterapi. Oleh yang demikian, di antaranya Dr.Tullio Simoncini dari Italy membuat kajian demi kajian sehingga beliau menemui bahan yang mampu membunuh sel kanser secara selamat dengan tidak menggangu sel-sel sihat yang lain. Terlalu panjang lebar untuk saya jelaskan protokol beliau. Sesiapa yang bermint untuk mendalaminya boleh membuat carian di 'google'. Saya juga telah menggunakan protokol beliau sebagai sebahagian daripada rawatan saya.

Dipanjangkan cerita, apabila saya menolak semua rawatan di hospital, saya dimarahi oleh doktor berkenaan dengan kata-kata yang kesat. Antara perkataan yang dikeluarkannya, 'nanti saya belasah dia!'...saya terdengar beliau berkata demikian kepada jururawat...selain itu, 'awak ingat dengan doa-doa awak ni saja boleh baik?', 'I don't want to see you anymore!'...terguris hati apabila mendengar kata-kata daripada seorang doktor pakar. Sungguh tidak beretika dan berperikemanusiaan.Sekalipun tidak bersetuju dengan keputusan pesakit tidak sepatutnya seorang doktor mengeluarkan kata-kata sedemikian.

Tidak lama selepas itu saya menerima panggilan daripada bahagian akaun mengatakan pihak insuran tidak akan membayar bil hospital saya. Bagai sudah jatuh ditimpa tangga...namun saya mampu terima penghinaan daripada doktor dan berita tersebut dengan hati yang  tenang sambil memikirkan bahawa ini semua ada hikmahnya. Cuma saya merasa amat kesal dengan tindakan doktor dan pihak hospital yang mengenakan caj sehingga RM 7 ribu lebih untuk 2 hari semata-mata untuk pemeriksaan kesihatan tanpa sebarang rawatan, malahan perasaan saya dicalari.

Oleh yang demikian, rakan-rakan di luar sana, berhati-hatilah ketika berurusan dengan hospital swasta dan doktor-doktor tertentu. Sebolehnya bertanyalah pengalaman orang-orang lain terlebih dahulu sebelum menemui mana-mana doktor di hospital swasta.

Saya pulang ke rumah pada petang 21hb.Julai 2014. Keesokan harinya saya dan suami menghantar mak mertua ke hospital kerana keadaannya semakin nazak. Saya tidak dapat menjaganya pada hari itu kerana terpaksa menguruskan anak-anak. Alhamdulillah, pada hari lusanya, seharian saya dan suami menjaganya di wad. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada malam itu..pada malam yang sangat baik iaitu 27 Ramadan, malam Jumaat. Jenazahnya kami uruskan di Masjid Bukit Antarabangsa, saya merasa puashati kerana dapat memandi dan mengkafankan jenazahnya walaupun saya masih sakit. Jam 4.00 pagi jenazah dibawa pulang ke Jengka, Pahang untuk disemadikan. Alhamdulillah...segalanya berjalan lancar..

Comments

Popular Posts