Alhamdulillah...Dugaan!
Assalamualaikum wbr...
Syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat lagi saya mencoretkan sesuatu pada hari ini.
Alhamdulillah...selesai sudah rawatan radioterapi selama 10 hari.Namun begitu tumor di paru-paru dan kelenjar masih ada tetapi telah mengecil. Rawatan seterusnya adalah makan ubat 'Iressa' sekali sehari selama 2 tahun. Saya hanya mengharapkan keajaiban berlaku dalam masa 2 tahun ini agar semua tumor lenyap sepenuhnya, InshaAllah.
Pada hari terakhir rawatan doktor membacakan keputusan Ct Scan tempoh hari. Kelihatan tumor di paru-paru semakin mengecil, di kelenjar masih tidak banyak beza dan terbaru ada satu lagi di otak bahagian dahi. Allahuakbar! Saya pun 'suspen' sebentar melihat muka doktor yang khusyuk meneliti laporan dan filem.Sudah diagak ada sesuatu yang tidak kena kerana kebiasaannya doktor akan mengucapkan 'Alhamdulillah' setiap kali selesai mencatit sesuatu di dalam fail saya atau sebaik menyelesaikan sesuatu urusan berkaitan saya. Kemudian beliau memberitahu bahawa ada satu ketulan di otak bahagian saya tetapi tidak dapat dipastikan adakah itu kanser atau bukan.Hanya biopsi yang boleh mengesahkan tetapi doktor tidak mahu melakukannya kerana terdapat banyak saraf di bahagian itu. Doktor hanya berkata, 'kita tengok sehingga hujung bulan,jika ada sakit kepala yang teruk, kita buat radioterapilah!'...saya hanya anggukkan kepala sahaja...tidak tahu apa yang nak dikatakan lagi sambil tersenyum dan mengucapkan Alhamdulillah di dalam hati...walaubagaimana pun kami berharap ianya bukan kanser kerana saya tiada simptom sakit kepala,muntah atau penglihatan kabur dan sebagainya.Doa saya agar ianya bukan kanser dan saya tidak memikirkannya sangat.
Sebaik sampai di rumah, saya terus menghantar mesej kepada suami di tanah suci agar mendoakan kesejahteraan saya.Inshaallah berkat doanya akan ada keajaiban berlaku jika itu perancangan Allah.Yang penting tenangkan diri, jangan stress.
Dalam masa yang sama juga saluran makanan saya mengalami jangkitan akibat kesan radioterapi. Saya sukar untuk makan atau minum. Ianya sangat menyakitkan..menelan air kosong sakit, sendawa sakit dan tidur telentang pun sakit. Apabila kesakitan tidak tertahan saya menghubungi doktor dan beliau meminta saya menemuinya untuk mengambil ubat.Beliau memberikan ubat untuk jangkitan fungus itu dan ubat bius bagi mengurangkan kesakitan.Alhamdulillah, bolehlah saya makan sedikit. Hari demi hari ianya makin baik dan hari ini saya sudah boleh menelan tanpa perlu mengambil ubat bius terlebih dahulu.
Sekarang keadaan jerebu yang agak teruk turut menjejaskan kesihatan saya apabila batuk-batuk dan gatal tekak. Mujur dengan izin Allah tidak melarat kerana saya juga sedang mengambil antibiotik.
Dalam menanggung kesakitan, dikejutkan dengan berita berlakunya ribut pasir di Jeddah.Saya bertanyakan suami bagaimana keadaan beliau di sana.Adalah juga kena tempiasnya kata beliau tetapi 'takde hal' katanya. Selang beberapa hari kejadian kren tumbang pula berlaku tetapi suami telah awal-awal menghantar laporan tentang keadaannya yang sihat dan selamat sebelum saya mengetahui tentang berita itu.Alhamdulillah beliau selamat...pada waktu Asar petang kejadian angin kencang,hujan lebat dan terjadi banjir kilat sedikit katanya, kebetulan beliau kurang sihat dan terus pulang ke hotel selepas solat Jumaat.Jadi beliau tiada di tempat kejadian petang itu..Alhamdulillah segalanya telah diaturkan oleh Allah.
Saya hanya ucapkan syukur dan berdoa agar suami dan semua jemaah dilindungi Allah, dipermudahkan segala urusan, diberi kesihatan yang baik dan dikurniai haji yang mabrur. Saya hanya perlu bertenang melalui dugaan menjalani rawatan sendirian, menguruskan kesakitan sendirian serta segala urusan anak-anak dan rumahtangga sendirian kerana Allah sentiasa ada melindungi dan memberi ketenangan kepada saya. Terima kasih Ya Allah, Ya Rahman.
Comments
Post a Comment