Syukur Atas RahmatMu...
Assalamualaikum wbr....
Alhamdulillah, kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kerana telah meminjamkan usia ini untuk saya terus mengabdikan diri kepadaNya.
Hari ini 21/3/2015 genaplah 8 bulan saya didiagnos sebagai pesakit kanser paru-paru. Walaupun doktor mengatakan, kebiasaannya jangka hayat pesakit seperti saya ini hanya 3-6 bulan tetapi hidup mati itu hanya di tangan Allah swt. Dia jualah yang berkuasa ke atas sesuatu dan semuanya di dalam perancanganNya. Kita sebagai hambaNya yang bertaqwa hanya perlu bersyukur dan redha atas segala ketentuanNya.
Sebenarnya saya tidak memikirkan sangat kata-kata doktor itu kerana yang penting bagi saya, setiap hari yang dilalui perlu saya gunakan sebaik mungkin...memperbaiki amalan dan meningkatkan kualiti ibadah sebagai bekalan mengadapNya kelak, tidak kiralah bila waktunya. Jika masih dipinjamkan usia yang panjang, ia bonus untuk menambah bekalan...Alhamdulillah.
Dalam menghadapi pelbagai dugaan kehidupan ini kita perlulah bijak menangani emosi dan jangan sesekali hanyut dibawa emosi negatif. Ingatlah bahawa setiap nikmat dan dugaan Allah itu ujian keimanan buat kita. Pastinya kita ingin melakukan yang terbaik bagi mendapatkan ganjaran yang terbaik...namun saya faham tidak semua orang mampu menghadapinya sebaik mungkin...Allah menguji hambaNya sekadar kemampuan masing-masing...dan Allah tahu saya mampu menghadapi ujian penyakit ini dengan baik.
Dalam mencari ketenangan diri untuk menghadapi ujian ini kita perlulah banyakkan bangun malam, bermunajat, memohon keampunan dan berdoa kepada Allah. Nescaya Allah akan mendengar luahan hati kita. Lakukan tanpa rasa jemu atau putus asa jika apa yang kita harapkan belum tercapai kerana Allah amat suka mendengar rintihan hambaNya. Teruskan berdoa dan memohon keampunan, InshaAllah suatu hari nanti Allah akan mengabulkan permintaan hambaNya.
Selagi masih bernyawa, janganlah merasa sedih...teruskan kehidupan seperti biasa. Bergembiralah dengan aktiviti seharian..lakukan apa jua yang menggembirakan kita. Jangan dikenang hari semalam kerana ia kesedihan buat kita dan jangan pula terlalu memikirkan hari esok yang belum pasti kerana ia kecemasan buat kita. Hadapilah hari ini sebaik mungkin bagaikan tiada lagi esok buat kita...teruskan perjuangan..
Saya melawan penyakit ini dengan tidak memikirkan ia wujud di dalam diri saya walaupun saya tahu saya sakit. Saya hanya mengakui saya sihat setiap kali orang bertanya khabar...'Alhamdulillah, sihat walafiat' (ia juga merupakan satu doa kerana setiap yang kita sebut itu adalah doa, jadi sebutlah perkataan yang baik-baik sahaja)...itulah ungkapan yang sering saya lontarkan dan sememangnya saya tidak merasai sebarang kesakitan pun ketika ini. Saya juga tidak akan membenarkan sesiapa menganggap saya sakit. Saya berpesan kepada ahli keluarga dan sesiapa sahaja agar tidak melayan saya sebagai orang sakit, saya tidak perlukannya...biarkan saya melakukan apa sahaja yang saya suka sekadar kemampuan saya, jangan dihalang. Saya juga merahsiakan penyakit saya ini daripada pengetahuan orang-orang yang saya kenali bersikap negatif seperti suka bergossip atau mengumpat kerana mereka ini tidak membantu proses penyembuhan saya malah hanya akan membawa aura negatif kepada saya. Selama ini saya telah membina aura positif disekeliling saya dan saya tidak mahu ia dirosakkan dengan pelbagai komen negatif atau cadangan yang memeningkan kepala saya...
Comments
Post a Comment