Kemoterapi Ke 12....

Assalamualaikum wbr...Salam sejahtera semua...

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah Yang Maha Besar, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...dengan limpah kurniaNya, akhirnya saya selamat menjalani sessi terakhir kemoterapi pada hari semalam 28/7/2015 dengan lancar tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah, semua dengan keizinanNya.

Keadaan saya selepas kemo masih seperti biasa, bertenaga dan boleh memandu pulang sendiri dan setiba di rumah terus ke dapur untuk memasak juadah berbuka puasa.

Pada 10/8/2015 nanti saya perlu menjalani ujian CT Scan bagi menentukan sama ada saya perlu menjalani rawatan radioterapi atau tidak. Ia berdasarkan sebanyak mana tumor telah mengecil. Walaubagaimana pun pada bulan depan saya akan mula diberikan ubat oral iaitu Iressa. Ia adalah ubat kemoterapi yang mesti dimakan sekali sehari selama 2 tahun. Kos ubat ini untuk sebulan, MashaaAllah...boleh tahan mahalnya, RM8k. Alhamdulillah, Prudentials akan membayar kosnya.

Rawatan radioterapi tidaklah memakan masa lama, hanya 10-15 minit sahaja dan hanya perlu menjadi pesakit luar. Namun kesan terbakar itu boleh mencecah hingga setahun baru hilang, ia boleh melecet jika berkasar dan rawatan ini dijalankan setiap hari 5 hari seminggu kecuali Sabtu dan Ahad. Rawatan radioterapi akan dijalankan di HKL kerana PUSRAWI tiada kemudahan tersebut. Saya masih akan dirawat oleh doktor kesayangan saya iaitu Dr.Zabedah Othman, Pakar Perunding Institut Radiologi dan Onkologi HKL (Ketua Jabatan). Beliau turut bertugas di PUSRAWI sebagai doktor jemputan.

Apa-apa pun keputusan CT Scan itu nanti saya terima saja dengan hati yang terbuka, tiada rasa kesal atau bimbang. Saya telah berusaha segala yang perlu, selebihnya saya berserah kepada Allah Swt. Dia yang memberi rezeki penyakit ini, Dialah jua yang berhak menarik balik rezeki penyakit ini.

Di ruangan maya ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang terlibat di dalam sessi rawatan saya di Hospital PUSRAWI, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Dari kakitangan di bahagian Pendaftaran Pesakit,  Radiologi, Patologi, Wad As Salam, Wad Al Aman, Wad An Naeem (merangkap Wad Onkologi juga) dan Farmasi. Ucapan terima kasih dan penghargaan khas ditujukan kepada Dr.Zabedah Othman, Pakar Perunding Onkologi saya dan Sister Suriyani, Jururawat Onkologi, Dr.Fazilah, Pakar Bahagian Dada dan Pernafasan dan Dr.Razipah, Pakar Bedah serta jururawat-jururawat Wad An Naeem yang sangat mesra dan mengambil berat. Saya sangat gembira dengan sikap mereka semua. Terima kasih semua! InshaAllah kita jumpa lagi...apabila saya ada temujanji saya akan ziarah anda semua....

Comments

Popular Posts