Doktor Kesayangku...

Assalamualaikum wbr...

Alhamdulillah, selesai sudah kemoterapi. Hari ini saya tidak mahu bercerita tentang rawatan lagi. Hari ini saya hendak berkongsi pengalaman manis bersama seorang insan yang istimewa. Beliau adalah Dr.Zabedah Othman, Perunding Kanan Institut Radiologi dan Onkologi, Hospital Kuala Lumpur yang juga merupakan doktor jemputan di Hospital PUSRAWI.

Beliau sangat menitikberatkan kebajikan pesakit tanpa mengira waktu. Pernah beliau hampir-hampir membatalkan cuti kerana merawat saya seorang sahaja pada ketika itu di Pusrawi. Alhamdulillah, keadaan saya bertambah baik dan boleh pulang ke rumah, bolehlah beliau meneruskan percutiannya.

Pada setiap kali ujian darah dijalankan, beliau akan membuat panggilan peribadi kepada saya untuk memberi penerangan tentang keputusannya. Kemudian sekali lagi beliau akan menerangkannya semasa lawatan ke wad. Sewaktu berjumpa, peluk cium itu sudah pasti dan sebelum beredar atau sebelum menamatkan perbualan di telefon, pesanan yang tidak pernah beliau lupa kepada saya adalah..'Doa selamat ye dik!'...sungguh terharu dan setiap kali mendengar suara dan menatap wajahnya membuatkan saya gembira. Saya sentiasa ternanti-nantikan kedatangannya semasa di wad. Beliau boleh berkongsi apa jua masalah dan juga tidak berkira dari segi kos yang dikenakan walaupun saya di rawat di hospital swasta.

Berikut saya kongsikan cerita tentang beliau di dada akhbar.


Dr. Zabedah jadikan pesakit sebagai sahabat

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Pakar Perunding Institut Radioterapi dan Ongkologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Zabedah Othman menyifatkan pendekatannya menjadikan pesakit sebagai sahabat amat berguna walaupun terpaksa mengorbankan masa, tenaga serta keluarganya.
Sambil mengimbas kembali hubungan rapat beliau dengan salah seorang pesakitnya, Wan Daliyati Omar, Dr. Zabedah berkata, hubungannya mereka terlalu rapat sehinggalah Wan meninggal dunia 23 November lalu.
Katanya, Allahyarham Wan yang lumpuh akibat barah payu dara yang telah merebak hingga ke tulang, memerlukan rawatan di rumah.
Beliau berkata, oleh kerana rumahnya agak berdekatan dengan rumah Allahyarham, beliau sering mengambil kesempatan menziarahi pesakitnya itu selepas waktu kerja.
''Secara keseluruhannya saya meletakkan pesakit saya sebagai sahabat malah ada sampai ke peringkat saudara mara,'' katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Forum Utusan hari ini menyiarkan surat adik Allahyarham Wan Azrin Omar yang mengucapkan terima kasih kepada Dr. Zabedah berdasarkan tugasnya yang cemerlang.
Wan Azrin berkata, Dr. Zabedah telah berjaya menunjukkan satu contoh yang amat baik untuk dicontohi oleh doktor-doktor lain di Malaysia semasa merawat kakaknya.
Wan Daliyati menghidap penyakit barah tersebut sejak tahun 1994 dan terus menerima rawatan di HKL di bawah pengawasan Dr. Zabedah.
Menurutnya, secara peribadi beliau menganggap Allahyarham Wan sebagai pesakit istimewa dan mudah berkongsi masalah yang dihadapi memandangkan usia mereka yang sebaya.
''Setiap individu perlu memahami apa yang dirasakan oleh orang lain dan meletakkan diri mereka dalam situasi pesakit,'' katanya.
Dr. Zabedah berkata, kalangan doktor juga tidak boleh menonjolkan imej mereka semata-mata dan mengetepikan perasaan pesakit terutamanya pesakit barah yang sering dikaitkan dengan maut.
Anak kelahiran Batu Pahat itu juga tidak pernah mengehadkan hubungannya dengan pesakit dan beliau bebas dihubungi pada bila-bila masa walaupun di luar waktu kerja.
Dr. Zabedah yang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Malaya pada tahun 1979 memilih untuk mengikuti kursus kepakaran di United Kingdom selama dua tahun.
Beliau yang dikurniakan enam orang cahaya mata merasa bertuah kerana mendapat seorang suami yang memahami tanggungjawabnya menunaikan fardhu kifayah dan sanggup ditinggalkan sepanjang tempoh tersebut.
Ditanya mengenai sikapnya yang tidak pernah membezakan para pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan, Dr. Zabedah berkata, pendekatan seumpama itu perlu kerana pesakit barah amat sensitif dan menganggap mereka sedang menghadapi maut.
Malah beliau mengakui setiap pesakit barah yang datang mendapatkan rawatan pada peringkat permulaannya sudah hampir putus asa dan tidak mahu berkongsi masalah.
''Keadaan ini perlu ditangani dengan bijak dan doktor berkenaan tidak boleh menonjolkan imej atau ego mereka sebagai seorang doktor. Mereka perlu memahami apa yang dirasakan oleh pesakit tersebut,'' katanya.

Oleh yang demikian saya sangat menyarankan kepada sesiapa yang sedang mencari doktor onkologi pergilah dapatkan rawatan daripada beliau kerana sikap positif seorang doktor amat membantu penyembuhan kita.

Comments

Popular Posts