Hari-hari Berlalu....Aku Semakin Tabah...

Assalamualaikum wbt...

Apa khabar rakan semua? Harapan saya agar semuanya beroleh kesejahteraan dunia dan akhirat.

Selamat bercuti kepada semua yang sedang bercuti...nikmatilah segala keindahan alam sekitar, ruang masa yang diberi Allah swt kepada kita untuk bersama orang-orang tersayang, nikmat kesihatan, kesenangan, kemewahan, kelapangan dengan penuh rasa syukur kepada Yang Maha Pencipta.

Alhamdulillah, saya masih diberi peluang olehNya untuk mencoret sesuatu di sini setelah beberapa bulan menyepi, bukan kerana keadaan kesihatan merosot tetapi kekangan waktu yang membataskan. Walaupun sakit, saya masih bertanggungjawab untuk menguruskan anak-anak dan rumahtangga seperti biasa di samping mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk bertemu Ilahi...hakikat yang perlu kita semua akui..kita tidak tahu bila masanya. Beruntunglah saya kerana telah diberi amaran awal yang sepatutnya dicemburui oleh orang lain, bukannya merasa kasihan atau simpati kerana saya ditimpa penyakit kritikal. Kenyataan ini bukanlah untuk berbangga diri atau berlagak sombong tetapi hakikat kebenarannya, Allah menyayangi hambanya dengan pelbagai cara. Ada yang diberi ujian kesenangan dan kemewahan supaya hambanya sentiasa rasa bersyukur dan mengingatiNya serta menambahkan ketaqwaan kepadaNya. Ada pula yang diberi dugaan kesusahan hidup dan penyakit, agar hambaNya juga sentiasa  meluahkan rasa syukur dan meningkatkan iman serta taqwa kepadaNya.

Alhamdulillah, dengan pelbagai amalan yang saya lakukan, saya semakin tabah menghadapi dugaan ini dan tiada rasa kesal terhadap apa yang telah Allah berikan sebagai dugaan ini. Hidup saya rasa gembira dan tenang walaupun bagi sesetengah orang yang mengetahui kisah saya akan mengalirkan air mata..air mata saya cukup mahal untuk dibazirkan kerana hal sebegini..Inshaallah, dengan keizinanNya juga saya begitu kuat...tanpa Dia, siapalah saya yang kerdil ini..begitu juga dengan suami dan anak-anak. Mereka begitu tabah dan positif walaupun berbagai cabaran dan masalah semasa yang mendatang, mereka tetap tenang dan kami menjalankan kehidupan seperti biasa...pergi bercuti, beriadah, melakukan aktiviti kemasyarakatan, aktiviti keagamaan dan sebagainya tanpa menjadikan masalah kesihatan saya sebagai halangan...yang paling penting masalah kesihatan saya tidak menghalang rutin ibadah harian saya...saya sentiasa berdoa agar  dapat melakukan ibadah seperti biasa dan dapat dipertingkatkan kualitinya.

Pesan saya kepada rakan-rakan yang senasib dengan saya, jangan meratapi ujian Tuhan. Fikirkanlah betapa bertuahnya kita, kanser ini bukanlah satu malapetaka tetapi rezeki..ia suatu rahmat daripada Allah swt kepada kita..kita hambaNya yang terpilih, Allah mahu kita ke syurgaNya. Jika dulu kita alpa dan lalai dalam mengingatiNya, Dia ingatkan kita dengan penyakit ini. Jika dulu kita banyak dosa, Allah hapuskan dosa kita dengan sebab penyakit ini..tidakkah beruntung kita?

Kuatkan semangat rakan-rakan dengan memperbanyakkan bermunajat kepada Allah, memohon keampunan daripadaNya setiap masa, berzikir, bertasbih, bertahmid, membaca Al Quran, bersungguh-sungguh berdoa kepadaNya dan bangunlah bersolat malam tanpa rasa jemu dan malas. Inshaallah, jika sudah biasa, perkara itu akan berlaku secara automatik. Amalkan secara istiqamah, Inshaallah ianya akan menjadi mudah dan ringan. Saya sudah melakukannya, terasa nikmat bertuhan dan hati cukup tenang..mohonlah kepada Allah agar kita dibantu di dalam mengingatiNya..

Sekian dulu perkongsian saya pada hari ini...

Wassalam.


Comments

Popular Posts