Fasa Baru Kehidupanku....

Assalamualaikum wbr...

Bertemu lagi dengan izin Allah swt...Alhamdulillah, sehari lagi dipinjamkan olehNya untuk kita berkongsi kisah hidup...

Hari ini genaplah 7 bulan saya didiagnos sebagai pesakit kanser paru-paru. 7 bulan hidup dibayangi kanser...saya juga bagaikan tidak percaya saya dan keluarga dapat melaluinya dengan mudah dan tenang. Tiada rasa penderitaan seperti yang boleh dibayangkan oleh orang ramai terhadap pesakit kanser. Saya pernah melihat penderitaan yang dialami oleh kakak ipar saya, arwah juga mengidap kanser paru-paru tahap 4 tetapi keadaannya begitu sukar..kesakitan yang dialaminya kerana sebelah paru-parunya sudah dipenuhi tumor, hanya tinggal sebelah kanan sahaja, itupun sudah dijangkiti tumor. Saya lebih bertuah kerana tumor di sebelah kiri baru sebesar penumbuk tetapi kecil berbanding dengan kakak ipar saya. Paru-paru kanan dan organ lain tidak terjejas..dan saya berdoa agar ianya tidak merebak.

7 bulan lepas saya mendapat diagnosis di KPJ Ampang Puteri, doktor tersebut memberi tahu bahawa saya mengalami kanser paru-paru dan payudara dalam masa yang sama. Fibroid juga ada di dalam rahim saya.

Namun pemeriksaan CT Scan, Biopsi dan ultrasound yang dijalankan di Pusrawi pada 10 Feb.2015 yang lalu menunjukkan saya hanya mengidap kanser paru-paru, tiada kanser payudara...yang ada hanya cyst yang mengecil dan fibroid juga makin mengecil. Syukur Alhamdulillah, dengan izin Allah kesan pemakanan kesihatan yang saya ambil memberi perubahan kepada tubuh badan saya..walaubagaimanapun, 'Adenocarcinoma of the lung' ini agak sukar di rawat dengan pemakanan..mungkin juga ianya ditahap akhir dan sudah besar. Saya yakin jika ia masih ditahap awal, pemakanan dapat membantu..oleh yang demikian saya tidak mahu mengambil risiko lagi dengan meneruskan kaedah yang telah saya lakukan sebelum ini yang tidak menampakkan kesan ketara..

Pada 21 Feb.2015 ini saya akan dimasukkan ke wad di Pusrawi untuk menjalani rawatan yang bakal disarankan oleh pakar Onkologi di situ. Sebelum apa-apa rawatan diputuskan, doktor akan memeriksa tahap kesihatan hati dan buah pinggang terlebih dahulu. Saya yakin dengan amalan pemakanan kesihatan yang berkualiti tinggi dan berpantang makan, hati dan buah pinggang saya sihat, malah tubuh badan saya turut rasa sihat. Sepanjang didiagnos kanser ini saya tidak demam atau selsema, begitu juga sebelum mengetahui ada penyakit ini. Dengan izin Allah mental dan fizikal saya juga sihat dan bersedia untuk menjalani rawatan ini dan saya rasa cukup kuat untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan kesan sampingan daripada rawatan tersebut. Walaubagaimanapun, saya sentiasa memohon kepada Allah supaya saya tidak mengalami kesan sampingan, agar rutin ibadah harian saya tidak terganggu, saya juga berdoa agar tidak lemah untuk memperbaiki ibadah saya. Itu sangat penting kepada saya disaat yang paling kritikal ini.

Kepada rakan-rakan yang sedang atau bakal menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi...jangan lupa berdoa kepada Allah agar kita sihat sepanjang rawatan tersebut supaya ibadah kita tidak terjejas. Di samping itu, bersedialah juga dengan sebarang kemungkinan kita akan terlalu lemah untuk menjalankan ibadah harian. Belajarlah untuk berwuduk dan solat semasa sedang terlantar, jangan sudah terlantar baru kita mencari orang untuk mengajarkan cara berwuduk dan solat kerana solat itu wajib dikerjakan selagi kita waras dan sedar. Selain daripada itu, penuhilah waktu di wad dengan aktiviti berfaedah seperti membaca buku dan berzikir sekiranya terpaksa tinggal lama di wad.Jangan dibazirkan masa kita yang amat berharga ini dengan hanya memikir perkara yang remeh-temeh atau bersedih..Bawalah Al Quran dan bahan bacaan yang sesuai. Antara buku yang saya sarankan adalah La Tahzan-Jangan Bersedih. Laluilah hari ini sebaik mungkin. Jangan dikenang hari semalam dan jangan terlalu fikirkan
hari esok yang belum pasti. 

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada suami, anak-anak, keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa mendoakan dan memberi semangat kepada saya.Pengorbanan anda semua amat saya hargai dan hanya Allah yang mampu membalasnya.

Comments

Popular Posts