Rawatan Belum Habis.....!

Assalamualaikum wbr....Salam Hari Kemerdekaan Yang Ke 58...

Hari ini Isnin, tanggal 31hb.Ogos 2015 merupakan hari ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 58. Semoga keamanan dan kedaulatan negara terus terpelihara sampai bila-bila. Moga anak-anak kita pewaris negara ini tetap mengenang penat jerih pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu dengan menjaga maruah negara Malaysia serta memartabatkan nama negara di mata dunia.

*Mesin radioterapi-Imej dari Google

Alhamdulillah, rawatan kemoterapi tempoh hari telah tamat sebanyak 6 kitaran iaitu 12 kali rawatan. Nampaknya tumor telah banyak mengecut tetapi rawatan perlu diteruskan dengan prosedur radioterapi pula. Prosedur ini sebanyak 10 kali yang berjalan setiap hari dari hari Isnin hingga Jumaat. Prosedur ini hanya mengambil masa 10 minit, 2 minit pancaran radiasi, 8 minit persiapan.

Peralatan yang digunakan adalah lebih kurang seperti di dalam gambar di atas. Pancaran radiasi adalah dari belakang dan hadapan. Sebelum proses ini dilakukan, doktor akan melakukan sama ada X Ray atau CT Scan bagi menentukan saiz tumor yang tinggal dan membuat perancangan bahagian mana yang perlu didedahkan kepada pancaran radiasi. Untuk itu, satu prosedur yang dipanggil 'Virtual Simulation atau CT Sim' akan dijalankan. Para 'radiographer' akan membuat pengiraan dan tanda dibadan kita sebagai panduan kepada kakitangan yang akan menjalankan rawatan tersebut. Beberapa titik menggunakan dakwat kekal akan dibuat menggunakan jarum suntikan di badan kita.

Setiap kali sebelum rawatan, mereka akan memastikan bacaan tanda-tanda tersebut adalah betul dan tepat sambil melaraskan kedudukan pesakit di atas meja rawatan. Setelah semuanya tepat, rawatan akan dimulakan. Dos pancaran radiasi berbeza antara seorang pesakit dengan yang lain bergantung kepada keseriusan penyakit. Setelah selesai, pesakit dibenarkan pulang.

Selepas rawatan pertama, mereka akan memberitahu pesakit supaya tidak memakai pakaian yang ketat, tidak menggosok atau menggaru, menyabun dan menyapu sebarang krim atau minyak di bahagian yang terkena radiasi tersebut melain apa-apa ubat atau krim yang diberikan oleh doktor. Pesakit juga mungkin akan menjadi letih, loya@muntah, kulit melecet dan lebam. Alhamdulillah saya tidak mengalami kesan-kesan yang disebutkan. Doktor juga membekalkan 'Hydrocortisone Cream' untuk disapukan pada bahagian rawatan supaya tidak lebam dan melecet.

Kini saya telah menjalani 7 kali radioterapi dan berbaki 3 kali sahaja lagi. Selepas itu, saya perlu meneruskan rawatan dengan memakan ubat kemo 'Iressa' setiap hari selama 2 tahun sambil dipantau oleh doktor dari masa ke semasa.

*Imej dari Google

Saya berdoa agar segala rawatan yang dijalankan ini membuahkan hasil yang baik dan saya sembuh seperti sediakala. Walaubagaimana pun saya redha dengan segala dugaan dan ketentuan Allah dan sentiasa bersyukur kerana mampu menempuh ujianNya dengan baik. Kini, saya terpaksa menguruskan anak-anak, rumahtangga dan rawatan saya sendirian kerana suami sedang mengerjakan ibadah haji. Beliau agak risau untuk meninggalkan kami tetapi saya memberitahunya supaya jangan membatalkan pemergiannya kerana dia sudah 'dipanggil' oleh Allah untuk menjadi tetamuNya...lagipun di saat ini kami memang amat perlu berdoa di tempat-tempat yang mustajab berdoa. Mudah-mudahan berkat doa suami dan rakan-rakan, saya akan sembuh, InshaAllah.

Comments

Popular Posts