Pantasnya masa berlalu...

Assalamualaikum wbr dan salam sejahtera,

Selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam. Semoga Ramadan kali ini menjadi yang terbaik buat kita dan bukan yang terakhir.

Lama sudah saya tidak update blog ini. Sibuk dengan urusan harian dan rawatan yang masih belum selesai. Alhamdulillah, 17/6/2015 yang lalu saya selamat menjalani kemoterapi yang ke 9. Berbaki 3 kali lagi dan seterusnya kemungkinan perlu juga menjalani radioterapi di samping mengambil ubat secara oral selama 2 tahun untuk mengecutkan tumor. Memandangkan saya tidak boleh menjalani pembedahan dahulu, saya berkemungkinan perlu menjalani prosedur tersebut. Kesemuanya bakal terjawab selepas selesai prosedur kemoterapi dan ujian CT Scan nanti. Setakat ini tumor sebesar penumbuk telah mengecil kepada separuh saiz asal, Alhamdulillah.

Sepanjang tempoh beberapa bulan yang lalu, setiap kali selepas kemo, apa yang saya rasakan adalah sama sahaja cuma selepas habis cycle ke 4 hari pertama, saya penat sedikit dan lambat makan sehingga perut sudah masuk angin. Ini menyebabkan saya tidak boleh makan atau minum langsung, semuanya akan keluar semula. Saya kembali ke hospital dan terpaksa duduk di wad selama 5 hari, masuk air dan darah satu beg. Hari ke 3 dan ke 4 barulah berselera sedikit untuk makan dan sudah tidak muntah lagi. Pengajarannya selepas ini jangan makan lewat atau biarkan perut kosong.

Beberapa minggu kemudian, dugaan datang lagi apabila kedua suami dan anak sulung saya kena demam denggi serentak. Mereka dimasukkan ke wad di Hospital Gleneagles. Berulang-aliklah saya ke sana selama beberapa hari.  Dalam pada itu, saya terpaksa meninggalkan mereka sendirian selama 2 hari kerana saya perlu menjalani kemoterapi yang seterusnya di Hospital Pusrawi. Manakala anak bongsu saya yang berusia 13 tahun ditinggalkan sendirian menguruskan diri..makan minumnya ehsan jiran dan rakan yang prihatin. Alhamdulillah,kami dapat menghadapi ujian ini dengan tenang, sabar dan redha serta rasa puas setelah semuanya selesai..tiada rasa keluh-kesah atau kebimbangan yang bukan-bukan di hati kami, kerana semuanya diserahkan kepada Allah..kami hanya fikir dan buat apa yang kami mampu sahaja.

Selang 3 hari kemudian, saya pula demam sehingga tidak larat bangun. Bangun hanya untuk solat. Tiada selera makan..demam agak tinggi dan saya rasa pelik kerana saya hanya beberapa tahun sekali mendapat demam. Waktu itu saya di kampung, petang hari Ahad itu kami pulang ke Kuala Lumpur. Keesokan harinya saya membuat panggilan kepada oncologist saya dan memberitahu keadaan saya, saya ingin ke hospital.

Suami terus menghantar saya ke wad kecemasan dan saya terus dapat 'jumped que'...boleh baring di katil. Ujian darah dilakukan...saya meminta ujian denggi dilakukan sekali kerana saya turut digigit nyamuk semasa berada di luar persekitaran rumah. Namun begitu, ujian itu negatif denggi tetapi simptom yang saya dapat adalah seperti denggi. Platelets saya jatuh menjunam kepada 18 daripada bacaan normal 150. Hal ini membuatkan doktor saya juga mengesyaki ianya denggi. Setelah beberapa ketika di wad kecemasan saya dibawa naik ke Wad An Naeem, Dr.Zabedah telah menunggu saya di kaunter jururawat dengan senyuman dan panggilan mesranya. Sejuk hati disambut baik dan mesra oleh beliau, lalu beliau mencapai kerusi roda saya dan menolak ke arah bilik saya, kemudian di rebut oleh jururawat bertugas. Di dalam bilik beliau menerangkan tentang keputusan ujian darah sebentar tadi, dan dia merasa agak hairan mengapa saya masih boleh berjalan walaupun platelets telah turun kepada 18 sedangkan katanya orang lain sudah 'collapsed'. Dia menasihati saya agar jangan jatuh dan mendapatkan bantuan jururawat jika ingin ke tandas, namun saya degil dan pergi sendiri kerana saya yakin saya masih boleh melakukannya sendiri. Alhamdulillah, dengan izin Allah saya diberikan kekuatan.

Selepas solat Asar, sekali Dr.Zabedah masuk untuk menukar tiub drip dari tangan saya untuk dipasang di 'chemo port'. Kebetulan pula petang itu jururawat onkologi sedang berkursus, jadi beliau sendiri yang melakukan prosedur itu kerana tidak sebarangan orang yang boleh memasangnya. Ia memerlukan jarum dan tiub khas serta sanitasi yang tinggi, di situ hanya 3 orang yang layak untuk memasangnya.

2-3 hari pertama di wad demam saya turun naik dan beransur pulih pada hari ke 4. Platelets hanya naik kepada bacaan 20 pada hari Rabu dan 41 pada hari Sabtu. Selama 5 hari itu saya dimasukkan air berterusan berselang-seli dengan 15 botol antibiotik kerana saya turut mengalami infeksi di tekak dan beguk. Saya juga terpaksa menjalani pemindahan darah sebanyak 2 beg kerana sel darah merah juga turun kepada 7.8...

Doktor memantau perkembangan saya dan beliau juga sanggup membatalkan cutinya hanya kerana ingin memantau saya seorang pada ketika itu. Berkat doa, akhirnya pada hari Sabtu saya sudah boleh pulang ke rumah apabila bacaan darah makin baik dan tiada demam lagi. Doktor juga menasihati saya meneruskan makan makanan yang boleh menaikkan platelets saya.

Di rumah saya terus memakan apa-apa yang disarankan. Alhamdulillah, ada rakan yang datang menghantar makanan kerana mereka tahu saya masih lemah untuk memasak. Dari hari ke hari keadaan makin baik dan bertambah-tambah selera makan.

Rawatan kemoterapi ke 9 saya ditangguhkan selama 2 minggu dan selama 1 bulan selang-masa daripada kemo ke 8 hari itu, saya dapat menaikkan berat badan sebanyak 2kg.

Alhamdulillah, selepas kemo ke 9 ini saya sihat. Sebaik pulang dari hospital malam semalam selepas kemo, saya terus melakukan kerja rumah seperti biasa memandangkan hari ini hari pertama puasa. Saya dapat berterawih, berqiamullail seperti biasa,memasak untuk sahur dan menghantar anak ke sekolah pagi tadi. Badan rasa bertenaga dan petang tadi masih boleh ke AEON untuk membeli-belah barangan dapur. Alhamdulillah, dapat berpuasa penuh hari ini. Doa saya agar keadaan saya sihat berterusan sehingga keakhir Ramadan dan hari-hari seterusnya..

Pada hari Rabu minggu hadapan saya akan menjalani kemo ke 10 pula. Doktor masih bimbangkan kesihatan saya berikutan kes sebelum ini dan mencadang agar saya menangguhkan kemo ke 10 ini selama 2 minggu lagi, namun katanya ikutlah kata hati saya. Jika saya rasa saya yakin boleh, teruskanlah. Saya yakin saya sihat untuk meneruskannya dan saya memberitahunya agar kita lihat dahulu keputusan ujian darah nanti. Jika tiada masalah kita teruskan prosedur seperti biasa. Beliau bersetuju.

Begitulah perkembangan saya untuk beberapa bulan kebelakangan ini. Tiadalah dugaan yang terlalu teruk. Syukur kepada Yang Maha Kuasa kerana memudahkan segala urusan saya sekeluarga dalam saat-saat yang sedikit sukar itu.

Di sini saya ingin mencadangkan kepada rakan-rakan yang mempunyai saudar-mara atau kenalan yang baru mendapat tahu menghidap kanser untuk mendapatkan rawatan daripada Dr.Zabedah Othman. Beliau merupakan Head of Dept.Radiolagy and Oncology, Hospital Kuala Lumpur dan doktor jemputan di Hospital Pusrawi. Saya sangat berpuashati dengan khidmat dan layanan beliau. Seorang doktor yang ceria, mesra, ikhlas merawat dan tidak mementingkan diri sendiri. Beliau akan menjawab setiap persoalan saya tidak kira masa. Lewat malam pun beliau akan menelefon saya untuk memberi penerangan jika ada sesuatu prosedur di wad yang akan dilakukan. Begitu juga setiap kali selepas ujian darah, beliau akan menelefon saya menerangkan panjang-lebar tentang keputusannya dan sekali lagi beliau akan membuat penerangan semula semasa lawatan di wad. Kini hubungan kami bagaikan adik-beradik yang boleh berpeluk-cium. Tidak pernah saya jumpa doktor sebaik ini, beliau juga sentiasa memotivasikan pesakit dan tidak pernah putus berpesan agar kami sentiasa berdoa memohon keselamatan. Terima kasih doktor atas khidmat cemerlangmu, hanya Allah yang mampu membalasnya.

Comments

Popular Posts