Bingka Kentang Dan Badam

Assalamualaikum wbr dan salam sejahtera.





Pejam celik-pejam celik dah masuk bulan Ramadan Al-Mubarak. Rasanya tak terlewat lagi untuk Ummi ucapkan selamat menunaikan ibadah puasa buat anak-anak Ummi dan seluruh umat Islam di mana jua anda berada. Mudah-mudahan Ramadan tahun ini lebih bermakna dari tahun-tahun yang sebelumnya. Mudah-mudahan juga kita menjadi insan yang lebih baik dari sebelum ini dengan kehadiran Ramadan yang penuh keberkatan dan keampunan ini.





Rasanya sudah terlalu lama Ummi tidak menulis di blog ini dan meninjau blog rakan-rakan. Wah! Rupanya makin meriah dunia blog kita ini...Kelihatan masing-masing seolah berlumba-lumba untuk menghasilkan masakan yang sedap dengan persembahan paling menarik serta kreatif. Tahniah dan syabas kepada rakan-rakan blogger yang telah berjaya menempatkan nama di majalah-majalah dan stesen TV serta radio. Mudah-mudahan akan lahir ramai lagi blogger masakan yang kreatif mempersembahkan hasil karya mereka.





Pot..pet...pot...pet...pulak Ummi ni. Sebenarnya hari ini Ummi nak kongsikan resepi juadah berbuka hari ini. Memandangkan mak Ummi berpuasa bersama kami tahun ini, terpaksalah selalu buat kuih untuk dia. Kami anak-beranak selalunya makan makanan yang amat mudah dan ringkas sahaja. Tiada kuih-muih pun tak mengapa tetapi mak yang sudah biasa ada kuih baginya ada kekurangan pula bila berbuka tanpanya.




Jadi hari ini sempatlah Ummi buatkan Bingka Kentang dan Badam untuknya. Ummi gunakan apa yang ada di rumah sahaja, malas rasanya nak ke kedai mencari bahan-bahan untuk membuat kuih-muih yang lain.

Bahan-bahan:

500 gm kentang direbus @ stim, dibuang kulit dan dilecek
250 ml santan pekat
5 biji telur
200 gm tepung gandum
200 gm gula halus
50 gm serbuk badam
Sedikit bijan untuk taburan 
1 sudu teh esen vanila
1/2 sudu teh garam

Cara-cara:

~ Pukul telur, santan, gula, garam dan esen vanila bersama-sama.

~ Kemudian masukkan tepung gandum dan serbuk badam. Gaul hingga sebati.

~ Masukkan pula kentang yang telah dilecek tadi. Gaul lagi.

~ Panaskan ketuhar 180 darjah celsius selama 10 minit.

~ Lenserkan loyang dengan mentega, taburkan sedikit tepung supaya tidak melekat. Tuangkan adunan bingka ke dalamnya. Taburkan  sedikit bijan.

~ Bakar selama 1 jam atau sehingga masak.

~ Sejukkan terlebih dahulu sebelum dipotong.

Selamat Berbuka! 

Comments

Popular Posts